ALLAH DIUTAMAKAN

AMAL DIPERTINGKATKAN



Peringatan….

Sebarang penulisan atau artikel di dalam blog ini tidak boleh dijadikan Rujukan Utama kerana penulis blog ini hanyalah insan biasa yang masih belajar mengenal erti hidup sebagai khalifah Allah..

Sebarang komen dan cadangan penambahbaikan sangat2 di alukan…Emailkan kepada marshall_niz@yahoo.com

Ramadhan menjelang lagi


بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Alhamdulillah, kita nyatakan rase syukur kita kepada Allah SWT kerana sekali lagi dalam kehidupan sebagai seorang Khalifah kita diberi kesempatan oleh Allah untuk bertemu dengan Ramadhan Al Mubarak ini. Masih segar lagi dalam memori kita pemergian Ustaz Asri, vokalis Rabbani yang merupakan icon nasyid kita telah kembali ke rahmatullah lebih awal tanpa sempat untuk berada pada Ramadhan tahun ini. Masih terkenang lagi kenangan terakhir saya bersama Allahyarham semasa Konsert Antara Benua pada 1 ogos yang lepas..

Kedatangan Bulan Ramadhan menandakan berakhirnya bulan syaaban dan bermulanya ibadah puasa.Apakah kelebihan bulan ini sehingga dinanti-nanti oleh sesetengah umat Islam, khususnya mereka yang ingin meningkatkan ketakwaan kepada Allah s.w.t.?? Persoalan yang sama juga pernah diajukan semasa Forum Pra Ramadhan yang diadakan pada 2 malam lepas di Auditorium, yang mane ahli panelnya terdiri daripada Prof Har dan Ustaz Anuar Ridwan. Mungkin perkongsian pada entry kali ini lebih kepada rumusan yang saya dapat simpulkan semasa forum tersebut agar dapat memberi manfaat pada sahabat2 yang tidak kesempatan untuk hadirdan juga memberi peringatan kepada kita terutamanya kepada saya sendiri.

Jawapan kepada persoalan tersebut ialah seperti yang kita sedia maklum, bulan ramadhan adalah bulan yang penuh dengan keberkatan. Bulan yang mempunyai pelbagai kelebihan berbanding bulan-bulan yang lain. Bulan yang juga dikenali sebagai bulan untuk kita berpesta ibadah, bukan untuk berpesta juadah ( Prof Har)

Bagaimanapun, ia terpulang kepada kita bagaimana untuk kita menghayati kedatangan bulan ini. Ia juga berbalik semula bagaimana dengan persiapan kita dalam menghadapi Ramadhan ini. Adakah cukup sekadar "wait n See" sahaja ataupon kita sudah membuat beberapa persedian awal pada 2 bulan sebelum ini untuk m'familiar' kan keadaan pada bulan Ramadhan nanti.

Bulan Ramadan adalah bulan yang disebut oleh Allah s.w.t dengan jelas sekali di dalam firmannya :

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ فَمَنْ شَهِدَ مِنْكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ وَمَنْ كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ (١٨٥

(Masa Yang Diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan Yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan Yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara Yang benar Dengan Yang salah. oleh itu, sesiapa dari antara kamu Yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa Yang sakit atau Dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari Yang ditinggalkan itu pada hari-hari Yang lain. (dengan ketetapan Yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur. [ Al-Baqarah: 185]

Di dalam ayat ini bukankah Allah s.w.t dengan jelasnya menyebut tentang bulan Ramadan berbanding dengan bulan-bulan Islam lain yang tidak disebut secara nyata oleh Allah s.w.t. Ini adalah sebagai pengiktirafan Allah s.w.t di dalam al-Quran tentang kelebihan bulan ini.

Mungkin kita boleh bercerita sedikit mengenai Al-Quran ini. Seperti yang kita sedia maklum, Al-Quran adalah petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi panduan yang memperjelaskan antara yang benar dan yang batil. Al-Quran adalah sumber untuk mencari ketenangan di dunia dan mencari keredaan Allah s.w.t di akhirat seperti mana maksud firman Allah s.w.t:

Menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. (al-Baqarah: 185).

Sebagai bulan yang penuh dengan kerahmatan, maka Allah s.w.t memilih Ramadan sebagai bulan yang diturunkan kitab yang paling mulia ini sebagai panduan kepada manusia.

Bulan Ramadan juga mengandungi satu malam yang lebih baik dari seribu malam. Malam tersebut dikenali sebagai Lailatul Qadr. Firman Allah s.w.t yang bermaksud:

Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. (Al-Qadr: 1-3)

Ayat ini menjelaskan kepada kita bahawa Allah s.w.t menurunkan al-Quran pada malam Lailatul Qadr, dan al-Quran pula jika kita rujuk kepada ayat 185 surah al-Baqarah diturunkan pada bulan Ramadan.

Maka ini juga merupakan satu kelebihan yang dianugerahkan pada bulan Ramadan. Ibadah puasa merupakan ibadah yang diwajibkan kepada umat Islam dan umat terdahulu, perkara ini telah dijelaskan oleh Allah s.w.t di dalam firmannya yang bermaksud :

Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa. (al-Baqarah: 183).

Sebelum kedatangan Islam yang dibawa oleh baginda s.a.w, ibadah puasa telah difardukan kepada umat sebelumnya. Tetapi cara perlaksanaan tidak sama seperti ibadah puasa umat nabi Muhammad. Sesungguhnya Allah s.w.t telah memilih bulan Ramadan sebagai bulan yang diwajibkan kepada umat Islam untuk berpuasa.

Bulan-bulan Islam lain hanyalah untuk kita berpuasa ganti atau nazar. Ibn Abbas meriwayatkan:

Rasulullah s.a.w tidak pernah berpuasa satu bulan penuh kecuali pada bulan Ramadan.

Ini merupakan kurniaan Allah s.a.w kepada umat Islam di bulan Ramadan. Maka sama-sama kita berusaha untuk melaksanakannya dengan sempurna.Pada bulan Ramadan juga umat Islam disunatkan solat tarawih secara berjemaah di masjid. Solat tarawih merupakan ibadah khusus yang disyariatkan oleh Allah s.w.t pada malam bulan Ramadan sahaja.

Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda:

Sesiapa yang mendirikan sembahyang malam pada bulan Ramadan kerana keimanan (kepada Allah) dan mengharapkan keredaan Allah semata-mata, maka diampunkan segala dosanya yang telah lalu. (riwayat Muslim).

Solat ini kenali sebagai solat tarawih kerana setiap empat rakaat, jemaah akan berehat seketika. Jika kita perhatikan jemaah pada zaman ini, selepas empat rakaat, jemaah akan berselawat ke atas nabi s.a.w. Allah s.w.t juga telah membuka semua pintu-pintu syurga pada bulan Ramadan.

Sabda nabi s.a.w :

“Apabila tiba bulan Ramadan, dibuka pintu-pintu syurga”. Hadis ini membawa kepada maksud yang tersurat dan tersirat.

Seperti yang kita maklum, jika dilihat secara zahirnya, hadis di atas menunjukkan antara tanda apabila datangnya bulan Ramadan, maka Allah s.w.t akan membuka pintu syurga kepada orang- orang yang beriman.

Maksud yang tersirat pula, sesungguhnya pada bulan Ramadan Allah s.w.t memperluaskan keampunannya, di samping melipat gandakan ganjaran kepada hamba-hambanya yang yang melaksanakan ibadahnya dengan sempurna. Selain membuka kesemua pintu syurga, Allah s.w.t juga menutup semua pintu-pintu nerakanya.

Rasulullah s.a.w bersabda lagi:

Apabila tiba bulan Ramadan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka. (Riwayat Muslim).

Tujuan Allah s.w.t menutup pintu neraka dan menghentikan seketika azabnya adalah bagi memperlihatkan kepada umat Islam betapa bulan ini dimuliakan oleh Allah s.w.t.

Pada bulan Ramadan juga Allah membelenggu syaitan, seperti mana sabda nabi s.a.w: Apabila tiba bulan Ramadan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka serta syaitan-syaitan dibelenggu. (riwayat Muslim).

Syaitan-syaitan ini dibelenggu supaya memudahkan umat Islam melakukan ibadah tanpa ada gangguan. Ketika itu hanya nafsu yang berperanan dalam menentukan hala tuju ibadah kita dan membolehkan kita menilai sejauh mana tahap keimanan diri kita tanpa ada gangguan syaitan.

Maka tidak mustahil mengapa kedatangan bulan Ramadan ini amat ditunggu-tunggu oleh semua umat Islam. Bersama-masalah kita menyambut kedatangan Ramadan ini dengan mengerjakan sebanyak mungkin ibadah yang dituntut.

Semoga dengan bermula Ramadan kali ini akan memantapkan keimanan kita sehinggalah Ramadan menjelang lagi.


P/s : Semasa penulisan artikel ini, hati tengah sedih melihat sahabat2 yang bergembira menyambut kedatangan Ramadhan bersama Keluarga tersayang :(














0 comments: